She makes a wish on every single star she sees, somewhere deep down she still believes.

Sunday, October 24, 2010

Isteri Seorang Mujahid

Hujan peluru masih belum berhenti. Menyiat tubuh insan yang masih bernadi. Di kala itu, Maisarah mendukung bayi kecil dan memimpin seorang kanak-kanak lelaki. Maisarah cuba menyembunyikan diri di balik bangunan yang masih belum hancur. Dia cuba melepaskan lelah di situ. Matanya memerhatikan sekeliling. Rumah-rymah kedai dan rumah penduduk rosak teruk. Masih ada kelibat penduduk yang cuba mencari tempat berlindung.
Maisarah merenung mata anak lelakinya yang berusia enam tahun itu. Di wajahnya ada kekentalan dan ketabahan. Maisarah membelai rambut anaknya dengan penuh kasih sayang. 

“Maafkan ummi Khalid. Kau tak sepatutnya merasai penderitaan ini. Sepatutnya kau kini berada di Tadika Islam dan belajar dengan kawan-kawan yang sebaya dengan kamu”. Matanya beralih menatap wajah comel milik Luqmanul Hakim. Bayi itu masih belum mengerti apa-apa yang dia tahu, apabila matanya terbuka melihat dunia, alam ini hancur….  Hancur kerana tangan-tangan manusia yang kafir.

Tiba-tiba sebutir bom meletupkan bangunan masjid yang masih dalam pembinaan di hadapan matanya sendiri. Maisarah memejamkan mata. Tangannya memeluk erat kedua-dua anaknya.
“Ummi, Khalid takut….” Rintihan itu akhirnya terpacul di bibir Khalid.
“Sabar sayang…nanti abuyamu datang, jangan takut…ummi ada di sini.” Maisarah cuba menenangkan anaknya.
“Abuya akan bawa kita pulang ya ummi?” Khalid meminta harapan. Maisarah mengangguk. Mata Maisarah mula digenangi kaca-kaca yang berkilauan. Dia sendiri sudah tidak tahan dengan kekejaman kafir harbie ini. Sampai bilakah kami harus bertahan Ya Allah? Maisarah berbisik sendiri.
“Maisarah!!”
Maisarah berpaling. Wajah suaminya yang tenang muncul di hadapannya.
“Lekas, mari abang hantar kamu semua pulang. Tentera Israel sedang mara ke sini!” Mujahid lantas mendukung Khalid.
“Abang bagaimana?” Tanya Maisarah pada suaminya. Mujahid mengukir senyuman walaupun di hatinya hanya Allah yang tahu.
“Abang selamat Maisarah. Sekejap lagi abang dan ahli Hizbul Mujahidin akan bergerak ke tempat musuh.” Maisarah mengangguk. Di hatinya berbunga sebuah kekaguman. Ya Allah… suamiku pembela agamaMu. Kau rahmatilah dia…Kau bantulah perjuangannya.

Langkah mereka kian pantas. Kadang-kadang mereka menyembunyikan diri di balik pohon tamar yang masih renek. Bimbang kalau-kalau dilihat oleh tentera Israel. Akhirnya mereka tiba di rumah.
‘Maisarah… kamu jaga anak-anak kita baik-baik. Abang kena pergi sekarang!” kata Mujahid sebaik sahaja menghantar anak-anak dan isterinya masuk ke dalam rumah.
“Abang, bila lagi abang akan pulang?” Maisarah cuba menyoal.
“Tengoklah…kalau abang masih hidup, abang akan pulang…” kata Mujahid, memberi harapan.
Mujahid membelai rambut anak-anaknya. Maisarah mencium tangan suaminya.
“Pergilah abang… perangilah musuh-musuh Allah. Saya merelakannya.” Kata-kata terakhir Maisarah sebelum suaminya keluar dari rumah.

Maisarah bangun dari tidurnya. Azan subuh sedang berkumandang. Dia menyelimutkan anaknya dengan selimut tebal. Angin Subuh memang sejuk, mencengkam hingga ke tulang hitamnya. Selesai menyucikan diri, Maisarah segera menunaikan solat Subuh. Dia cuba mencari ketenangan dalam solatnya. Selesai sembahyang, Maisarah berdoa.
“Ya Allah… Kau ampunilah dosa-dosaku. Kau ampunilah dosa-dosa suamiku. Kau berikanlah aku ketabahan untuk meneruskan hidup ini. Dan Kau berilah kekuatan buat suamiku untuk menegakkan agamaMu. Sesungguhnya, kalau Engkau mentakdirkan dia syahid, aku rela dan pasrah. Ya Allah…kasihanilah anak-anakku. Kau bawalah mereka menghayati keadaan ini. Kau tiupkanlah semangat jihad ke dalam hati kecil mereka yang masih bersih. Amin Ya Rabbal A’lamin…” Begitu khusyuk dan merendah diri Maisarah berdoa.

Maisarah membuka tingkap. Suasana sudah kembali tenang. Rumah-rumah jirannya Nampak masih elok. Maisarah teringatkan peristiwa semalam. Pagi itu, dia meminta izin dari Mujahid untuk ke pasar membeli gandum. Mujahid mengizinkan dia membawa Khalid dan Luqmanul Hakim. Apabila tiba di pasar, belum sempat Maisarah membeli barangan yang dikehendakinya, tiba-tiba hujan peluru luruh bertalu-talu. Dia berlari-lari memimpin Khalid untuk menyelamatkan diri.
Lamunan Maisarah dikejutkan dengan tangisan kecil anaknya. Dia segera mendapatkan anaknya. Dilihatnya, Khalid cuba mendukung adiknya. Maisarah tersenyum. Alhamdulillah…Khalid seorang anak yang soleh dan seorang abang yang bertanggungjawab.
Mujahid pulang ke rumah. Maisarah menyambut dengan senyuman girang. Wajah Mujahid tetap tenang.

“Bagaimana di luar sana?” Maisarah menyoal ketika menemani suaminya bersarapan.
“Pasar rosak teruk, tiga orang telah syahid. Amir, ahli tentera Hizbul Mujahidin juga syahid…” Air mata Mujahid akhirnya gugur.
“Biarlah mereka pergi dulu… semoga kita mengikuti mereka selepas ini.” Maisarah cuba memberikan ketenangan kepada suaminya.
“Itulah yang abang harap-harapkan. Sarah, abang ada sesuatu yang hendak diberitahu.” Hati Maisarah mula diragut keresahan. Jantungnya pula berdegup kencang.
“tentera Israel semakin hari semakin kejam. Abang tidak pasti sampai bila lagi abang mampu bertahan…” Mujahid tertunduk.
“Abang sudah putus asa?” Maisarah cuba menduga.
“Tidak, Sarah…bukan itu maksud abang. Bukankah Sarah tahu yang abang memang bercita-cita hendak syahid sejak abang remaja lagi.”
“Ya, bang… Sarah tahu. Tapi mengapa abang harus berkata begitu?” Maisarh semakin gelisah. Mujahid mengangkat muka, cuba mengukir senyuman pahit.
‘Tak mengapalah Sarah….”
Mujahid mengimami solat Maghrib malam itu. Selesai solat, Mujahid mencapai mushaf Al-Quran. Ditatapnya Al-Quran begitu lama.
“Kenapa, bang?” Tanya Maisarh merungkai persoalan di hati.
“Maisarah… Al-Quran ini begitu suci. Tapi, kesuciannya telah dinodai. Baru-baru ini, berlaku penghinaan Al-Quran di penjara Guantanamo. Para perwakilan multaqa sudah sebulat suara menyokong pembentukan satu badan tribunal untuk menkaji pendekatan dan strategi menghadapi sebarang kemungkinan yang dianggotai oleh para ulama’ seluruh dunia.” Panjang lebar Mujahid menerangkan apa yang tersirat di hatinya.
“Masjidil Aqsa menjadi buruan.” Maisarah mencelah.
“Ya, Maisarah… Kesatuan Ulama’ Syatiah dalam parti Amal Islam Jordan menggesa para khatib di kedua-dua Masjidil Haram dan Nabawi agar mengingatkan para jemaah tentang tipu daya Yahudi dan Zionis serta perancangan mereka untuk menakluk Masjidil Aqsa.” Jelas Mujahid. Maisarah mengangguk.
“Sudahlah Sarah…kita berdoa sahaja kepada Allah, semoga Islam terus terpelihara.” Mujahid mengakhiri percakapannyadan memulakan bacaan Al-Quran.
Sudah dua hari tentera Israel tidak mengganas. Penduduk detempat memulakan kehidupan seperti biasa walaupun dalam ketakutan dan serba kedaifan. Mereka masih bimbang kerana tentera Israel akan menyerang mereka bila-bila masa sahaja. Namun, mereka hanya redha. Mereka sudah lali melihat kekejaman walau hati  terasa bagai dihiris pedang.

Seharian di rumah, Mujahid menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran dan melayan karenah anak-anaknya. Di ruang tamu, Mujahid meriba Khalid yang memeluknya erat.
“Khalid, kamu mahu menjadi seperti abuya?” soal Mujahid lembut. Khalid mengangguk.
“Bagus…abuya mahu kamu menjadi wira Islam.” Khalid mengangguk lagi. Mujahid ketawa kecil melihat telatah anaknya itu. Entahkan faham, entahkan tidak.
“Khalid, abuya sayangkan kamu. Abuya cintakan ummi. Abuya sayangkan Luqmanul Hakim, tapi Khalid…” bicara Mujahid terhenti. Khalid memotong percakapannya.
“Abuya… Asar!” Mujahid tersenyum. Khalid anak yang soleh.
Dentuman kuat mengejutkan penduduk. Mujahid terjaga dari tidur. Begitu juga Maisarah. “ Sarah, cepat! Siapkan keperluan abang!” Mujahid bergegas ke bilik air dan berwudhuk. Sementara Maisarah menyiapkan keperluan, Mujahid sempat menunaikan solat sunat dua rakaat. Selepas itu, dia terus ke ambang pintu anak-anaknya. Mujahid mencium dahi anak-anaknya. Air matanya menitis. “Abuya janji akan pulang walau apa pun yang terjadi.” Mujahid berlalu pergi.
“ Sudah siap Sarah?” Tanya Mujahid kepada isterinya.
“Sudah.” Jawab Maisarah sepatah.
Satu lagi dentuman kedengaran. Mujahid kembali cemas.
“Izinkan abang pergi Sarah…yakinlah pada Allah. Kita bertemu dan berpisah kerana Allah.”
Maisarah mengangguk lemah. Terasa tidak mahu berpisah lagi namun dia tidak boleh menghalang suaminya pergi menegakkan syiar Islam. “Abang pergi dulu. Jaga diri Sarah dan anak-anak baik-baik.” Maisarah mengangguk dan hanya mampu melihat suaminya pergi hinggalah hilang dari pandangan.

Maisarah berteleku di sejadah. Dia menghabiskan masanya hari ini dengan membaca Al-Quran. Di luar sana masih kedengaran dentuman kuat. Maisarah berkira, kali ini agaknya ramai yang syahid. Tapi Maisarah bersyukur, rumahnya masih belum ranap. Sekurang-kurangnya ada tempat berlindung.
Malam merangkak tua. Maisarah masih menunggu kepulangan Mujahid. Tapi dia tahu, Mujahid tidak akan pulang dalam masa yang terdekat ini kerana tentera Israel masih mengganas. Tiba-tiba, Maisarah mendengar ketukan pintu yang kuat. Mungkin Mujahid, tapi….Maisarah segera membuka pintu. Dia terkejut besar. Disangkakan Mujahid, tanpa dijangka tiga orang tentera Isarel menceroboh masuk ke dalam rumahnya.
“Kenapa kamu masuk?” Maisarah memberanikan diri. Tanpa belas kasihan, Maisarah dipukul berulang kali. Dua orang daripada mereka menggeledah bilik anak-anaknya. Maisarah dicengkam perasaan bembang bercampur baur cemas. Salah seorang tentera Israel mendukung Luqmanul Hakim. “Ke mana kamu mahu bawa anak aku??” Maisarah cuba merampas kembali anaknya. Tapi ditendang hingga jatuh di ambang pintu. Khalid berlari mendapatkan ibunya. Tentera-tentera Israel itu terus membawa keluar Luqmanul Hakim pergi. Biadap! Tak berperikemanusiaan! Maisarah mencela di dalam hatinya. Dia masih berusaha mendapatkan anaknya tetapi tidak berdaya, akhirnya dia rebah….

Maisarah membuka mata. Jiran-jirannya Jameela, Rahima dan Jalilah ada di sampingnya. “Maisarah, kamu sudah sedar?” Tanya Jameela yang tua dua tahun daripadanya. Maisarah cuba bangun. “Mana anak saya?” Maisarah bertanya. Jameela tunduk. “ Sarah, Khalid bagitahu Luqman sudah dibawa pergi tentera-tentera Israel, sudah puas penduduk mencari, tetapi tidak jumpa. Lagipun, mereka tidak berani untuk pergi mencari dengan lebih jauh.” Ulas Rahima untuk menenangkan Maisarah. Maisarah menangis, dia kesal kerana mengkhianati amanah suaminya, “Abang maafkan Sarah, Sarah gagal menjaga anak-anak kita sepertimana yang abang harapkan.”
“Ummi!!” Khalid muncul di ambang pintu lalu menerpa mendapatkan ibunya. Maisarah mencium Khalid , bersyukur kerana Khalid selamat.
“Ummi…orang jahat ambil adik…” Khalid berkata sambil menatap wajah ibunya.
“Ummi tahu sayang…kita mungkin tak jumpa dia lagi.”Maisarah menangis lagi. Hati ibu mana yang tidak pilu. Anak kecil dilarikan tanpa dapat menyelamatkannya. Maisarah hanya pasrah kepada Allah.

Maisarah megesat air matanya. Dia masih berada di jendela menunggu suaminya pulang. Hal penculikan anaknya perlu diberitahu kepada suaminya. Tapi sudah tiga hari Mujahid pergi. Tentera Israel mula mengundur. Maisarah cuba mengerti tugas suaminya. Tiba-tiba kedengaran orang member salam dari luar. Mujahid! Wajahnya lebih tenang daripada biasa. Kali ini dia pulang tanpa sebarang luka di wajah dan tubuhnya.
“Assalamualaikum Maisarah…” ucap Mujahid lembut.
Maisarah menjawab salam suaminya sambil memerhatikan pakaian suaminya kehairanan , jubah putih yang tak pernah dilihatnya sebelum ini dipakai oleh Mujahid.
“Abang apa khabar?” soal Maisarah lembut.
“Alhamdulillah, abang tenang dan bahagia Sarah..”
“Abang Nampak bersih pulang kali ini.” Maisarah memuji.
“Ya, abang tahu, Maisarah.”Maisarah teringatkan hal yang perlu diberitahunya.
“Abang, Luqman sudah tiada lagi…dia diculik oleh tentera Israel.” Mujahid hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya.
“InsyaAllah, dia selamat bersama abang, usah bimbang. Dia ada dan sekarang sedang bermain di taman syurga.” Hati Maisarah semakin gelisah. Apa maksud Mujahid?
“Sudahlah Maisarah..Nanti kamu akan tahu juga. Ah, mana Khalid?” Mujahid cuba beralih tajuk. “Dia sudah tidur.”Maisarah menjawab dengan lemah. Mujahid menuju ke bilik anaknya. Agak lama, selepas iru dia keluar semula. “Abang perlu pergi sekarang, Siraj Munir, Habeeb dan Ridhwan menunggu abang di luar.” Ucap Mujahid sambil menggenggam tangan isterinya.
“Abang ada hal sedikit, maafkan abang, abang pergi dulu…” Maisarah mencium tangan suaminya yang sejuk. Beberapa ketika suaminya hilang dari pandangan. Khalid duduk di sisi Maisarah yang termenung. Maisarah terkenangkan anaknya dan peristiwa malam tadi. Fikirannya kian kelam.
“Ummi…semalam Khalid mimpi abuya.” Kata anak kecil itu bersemangat.
“Kamu bukan mimpi sayang…semalam abuya memang pulang.” Jawab Maisarah sambil mengesat air mata yang gugur laju di pipinya.
“Tidak,ummi…selepas abuay abis bercakap, dia pergi begitu sahaja..dan bila Khalid buka mata, abuya sudah tiada ummi.” Hati Maisarah terus dihimpit gundah. Dia semakin bingung memikirkan.  Tiba-tiba muncul Ibnu Sufian di laman rumah. Maisarah yang berada di jendela cam benar wajah sahabat suaminya itu.
“Ya Ibnu Sufian…ada apa?” soal Maisarah cemas.
“Maisarah, suamimu ditemui mati di tepi sungai bersama…Siraj Munir, Habeeb, Ridhwan dan …” kata-kata Ibnu Sufian terhenti. “Dan siapa Ibnu Sufian?” Maisarah kian cemas, lututnya terasa longgar. “Anakmu…Luqmanul Hakim.”
Maisarah rebah. Dia sudah tidak sanggup menanggung derita ini. Ya Allah… tabahkan hati hambaMu ini. Berikan aku kekuatan Ya Allah.
“Suamimu hendak menyelamatkan Luqman tapi disedari oleh tentera Israel.. lalu dia ditenbak.” Ibnu Sufian tunduk lantas segera meninggalkan rumah itu. Dia tahu Maisarah masih mendengar kata-katanya tadi walaupun dia juga tahu Maisarah telah rebah mendengar perkhabarannya.

Maisarah menarik nafas panjang. Segala-galanya telah berakhir. Maisarah menepuk lembut anak kesayangannya itu. Air matanya tidak henti-henti mengalir. Kadang-kadang dia rasa terlalu lemah untuk menerima semua ini.
“Mujahid…cita-citamu akhirnya tercapai. Kau pergi bersama kenangan yang kita cipta. Kau bawa anak kecil kita bersama. Aku pasrah…aku redha…suamiku, semoga engkau bahagia di sana. Sampaikan salam cinta suciku untuk Luqman. Katakan padanya, aku sentiasa merinduinya. Khalid, anakku, kaulah yang ummi ada di dunia ini…suatu hari nanti ummi mahu kamu menjadi seperti abuyamu sayang. Ummi amat mengasihimu sayang…”